- Artikel iluvislam.com
Biodata Penulis
Nurul Adni Adnan dilahirkan 22 September 1984. Puteri sulung ayahbonda tercinta, Adnan Abdul Manap dan Normah Sabar. Anak ketiga dari sembilan beradik.Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kini menetap di Meru, Klang. Telah berumahtangga dan diamanahkan seorang cahaya mata. Beliau berkongsi karya di http://sisi-kehidupan.blogspot.com
Isteri A berkongsi, sebagai seorang student yang berjumpa suami jarang-jarang...
"Dah lah jarang berjumpa, bila jumpa, suami tak tanya pun khabar saya.." luah isteri ini yang baru sebulan dua bernikah.
"Suami tahu tak...?" tanya saya.
"Takkan itu pun nak bagitahu...?" jawabnya.
Isteri B pula berkongsi, banyak perkara-perkara 'kecil' yang dia suka suaminya lakukan.. Antaranya,
"Bila keluar pergi kerja, saya suka kalau suami cium dahi saya.."
"Suami tahu tak..?" tanya saya.
"Malulah nak bagitahu..."jawabnya.
Saya bukanlah orang yang arif lagi berpengalaman luas tentang pernikahan, apatah lagi pernikahan sendiri yang baru mencecah usia dua tahun. 'Masih belum menghadap realiti', kata sesetengah orang. Biasanya, setahun dua usia pernikahan dikatakan masih di fasa 'honeymoon', jadi masih banyak perkara yang kita tidak nampak dan lalui.
Saya hanya kongsikan tentang persediaan pernikahan di sini berdasarkan apa yang telah dilalui dan dari pengalaman teman-teman lain yang juga telah berumahtangga.
Jangan abaikan perkara kecil
"Perkara kecil" seperti tanya khabar 'Sayang apa khabar?' dan 'sepotong ciuman' ini adalah antara perkara yang perlu dikomunikasikan, jika tidak hal yang kelihatannya kecil ini perlahan-lahan memudarkan cinta di hati pasangan. Isteri rasa tidak disayangi, padahal banyak lagi kebaikan dan bentuk kasih sayang suami padanya.
Belajar bercakap
"Saya banyak belajar dari perceraian ini walaupun perit.. Di awal-awal perkahwinan dulu kami terlalu sibuk dengan kerja, hingga banyak perkara tidak sempat dikomunikasikan dengan baik. Kami selalu berselisih pendapat..." luah seorang isteri yang berakhir pernikahannya setelah 3 tahun bersama.
"Belajar bercakap..." maka itulah jawapan saya apabila ditanya 'Apakah persediaan sebelum bernikah?' oleh seorang teman yang bakal menginjak kaki ke alam pernikahan.
Kembali kepada 'belajar bercakap', bagi saya ia teramat penting. Bahasa modennya, berkomunikasi.
Sangat-sangat penting. Walau sibuk bagaimana sekalipun, tidak ada kesempatan untuk berdua menatap muka, jika kita ada masa untuk sms client tentang urusan yang berkaitan, untuk emel report dan segala dokumen lain atas urusan kerja, maka gunakanlah segala teknologi ini untuk menyusun seindah bicara mengkomunikasikan harapan dan kehendak pada pasangan. Untuk meneguhkan rumahtangga dalam pelayaran hidup yang sementara.
Bangunkan komunikasi
Sebelum bernikah, ada di antara kita yang begitu 'menjaga', hingga komunikasi tidak dibangunkan. Atau minima sekali. Tidak berbincang dan tidak ada perkongsian tentang apa dan bagaimana kehidupan suami isteri yang diharapkan.
Ada pula yang 'tidak menjaga', terlebih komunikasi – ungkapan rindu sayang bertali arus, hingga komunikasi menjadi begitu intim mengalahkan intimnya komunikasi suami isteri. Malah komunikasi yang keterlaluan membuka hati dan perasaan pada hubungan yang terlarang.
Maka sebelum bernikahan, kita berusaha membangun komunikasi yang pertengahan, bersederhana. Kuncinya, ittaqilah (taqwa). Secara langsung atau tidak langsung.
Ungkapkan harapan dan perancangan hidup kepada bakal suami atau isteri dengan kepercayaan dan ketelusan. Kongsikan latar belakang keluarga, kelemahan dan kekekurangan diri seadanya dalam berusaha membina penerimaan dan kefahaman. Luruskan expectationsyang meleset dari jangkauan supaya kelak tidak merasa 'tertipu' dengan penampilan luaran pasangan.
Hal-hal yang dikomunikasikan sebelum dan di awal-awal pernikahan adalah teramat penting dalam menentukan arah tuju kebahagiaan rumahtangga yang dibina.
Kita mungkin biasa terdengar, salah satu faktor utama perceraian ialah kegagalan komunikasi berkesan.
"Komunikasi berkesan... Apakah ini...? Complicated sangatkah?"
Ya, perkahwinanan akan jadi complicated bila kita tidak pandai bercakap. Tidak pandai menyuarakan keinginan dan tidak bijak menyuarakan ketidakpuasan hati tentang rumahtangga dan pasangan.
Bangunkan keserasian
Kita susah untuk serasi bersama suami isteri jika tidak tahu bagaimana menyatakan penghargaan dan kekecewaan. Banyak perkara ingin diluah, tidak terluah. Tidak tahu cara yang betul atau memang tidak suka untuk berkongsi. Dan, banyak juga yang tidak sepatutnya disebut dan diungkapkan, telah menjadi ayat dan bait-bait kata yang mencederakan perasaan pasangan.
Tidak dilupakan juga, lelaki dan perempuan 'bahasanya' berbeza walaupun maksudnya sama. Bukalah buku-buku tentang cara berkomunikasi lelaki dan perempuan.
Pada lelaki, bukalah 'women's dictionary'.
Pada perempuan, belajarlah ayat-ayat yang berhikmah lagi berkesan untuk memuji atau menegur kesalahan suami.
Contoh lain dialog suami isteri:
"Takde apa..ok je.." jawab si isteri walau mukanya menunjukkan 'ada apa-apa'.
"Oklah, kalau tak ada apa-apa, abang pergi dulu, kawan-kawan abang dah tunggu..." maka suami pun 'selamba' meninggalkan isteri yang mungkin ada masalah yang ingin diluahkan kepada suami. Isteri menahan sendu dan airmata, suami keluar dengan rasa tenang hati kerana merasakan 'semuanya ok, tak ada apa-apa'.
Wahai isteri, tidak semua para suami itu mampu membaca fikiranmu... Jawablah dengan bahasa yang difahami lelaki.
Wahai suami, tanyalah penuh perhatian menunjukkan kepedulianmu... Belajarlah sedikit bahasa psikologi seorang isteri.
Tidak perlu salahkan sesiapa, bukan salah sistem pendidikan yang tidak pernah ajar tentang psikologi pernikahan dan hubungan lelaki perempuan, bukan salah ibu ayah kita yang sering bercakap dengan bahasa yang saling menjatuhkan – lalu kita pun mengikut gaya bahasa sebegitu.. tapi..
TAPI.. mulakanlah dengan diri kita, yang akan bernikah dan telah bernikah.
Muhasabahlah cara kita berkomunikasi dengan pasangan, adakah CARA kita bercakap telah membantu menenangkannya, menggembirakan, memujuk, atau CARA kita bercakap sering 'membelasah' dan 'meremeh-remehkan' pasangan walaupun kita tidak berniat untuk meremeh-remehkannya, hingga hatinya terhiris terluka.
Akui kesilapan sendiri, maafkan pasangan SELALU
Nada bercakap, perkataan dan ayat-ayat yang terungkap dari bibir-bibir kita telah banyak mengguris hati pasangan bukan? Mungkin dengan perkataan-perkataan kita, hati pasangan telah terluka parah atau mungkin kelukaan kecil.
Maka usah bertangguh dan merasa berat memohon maaf, kenali dan akui kesalahan-kesalahan kita pada pasangan.. Mohonlah maaf kerana ALLAH. Maafkanlah pasangan kerana ALLAH. Saya teringat sebuah pepatah:
"Perkahwinan yang bahagia itu, lahir dari suami isteri yang suka memaafkan."