Isteri Yang Diuji
Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah... Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah 'memperkenalkan' Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar...
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi... dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi 'sesuatu yang tidak baik' dengan hati yang baik.
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta... jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah 'bisikan' tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda... "aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!"
Sunnatullah dalam perjalanan hidup... apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.
Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman..
Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan... Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita... kerana bahagia itu ditempa oleh derita!
Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat.
Hikmah. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri.
Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji.
Jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!
Monday, October 1, 2012
Jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!
Posted by Sofiah Jasni at 11:16 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)











0 comments:
Post a Comment